Dalam sedar x sedar sebenarnya banyak peristiwa-peristiwa penting berlaku dalam bulan Ramadhan ini,seperti Diturunkan kitab Al-Quran kepada Rasulullah S.A.W,berlakunya peperangan Badar dan lain-lain lagi. Jadi sempena dengan kehadiran Ramadhan kali ini dan juga sempena 10 Ramadhan hari ini mari kita selami dan hayati peristiwa disebalik 10 Ramadhan. 10 Ramadhan 619 masihi adalah tarikh kewafatan seorang tokoh wanita terulung dalam sejarah Islam,Beliau merupakan wanita pertama yang memeluk Islam, dan Beliau juga merupakan isteri kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad S.A.W,mari kita hayati serba sedikit kisah insan yg diberi nama Saidatina Khadijah..
RIWAYAT HIDUP SAIDATINA KHADIJAH
Saidatina Khadijah dilahirkan di
Makkah pada tahun 68 sebelum Hijrah dan kurang lebih 15 tahun sebelum
tahun Gajah. Saidatina Khadijah merupakan puteri kepada Khuwailid bin
Asad bin Abdul Uzza bin Qushai Al-Qurasyiyyah Al-Asayidah. Ayahnya
seorang pedagang. Ibunya pula bernama Fatimah binti Zaidah bin Al-Asham.
Saidatina Khadijah lahir dari kalangan keluarga yang mulia, jujur dan
keluarga pemimpin. Saidatina Khadijah berketurunan Bani Hasyim.
(Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 2)
Saidatina Khadijah
dibesarkan di kalangan keluarga yang mulia, terdidik dengan akhlak yang
terpuji, bersifat teguh dan cerdik sehingga kaumnya memanggil Thahirah
kerana beliau sangat loba terhadap akhlak dan kesopanan yang mulia.
Ayahnya, Khuwailid wafat kira-kira pada tahun 585 Masihi iaitu sebelum
perang Fijar. Manakala ibu Saidatina Khadijah wafat sekitar tahun 575
Masihi. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 4) dan ( Syed A. A. Razwy,
1993: mukasurat 16)
Setelah ibu dan ayah Saidatina Khadijah
wafat, kekayaan dan harta diagihkan kepada Saidatina Khadijah dan
adik-beradiknya. Antara adik-beradiknya, hanya Saidatina Khadijah yang
mewarisi kebolehan ayahnya untuk menjadi kaya. Oleh kerana Saidatina
Khadijah dikurniakan kecerdasan yang luar biasa, beliau mengambil alih
tanggungjawab bisnes keluarganya dan segera mengembangkannya. Beliau
ingin memperoleh kekayaan dari titik peluh sendiri. Salah seorang bapa
saudaranya bertindak sebagai penasihat beliau dalam masalah bisnes.
Anggota keluarga yang lain juga turut membantunya apabila beliau
memerlukan pertolongan. Walaupun begitu, dalam membuat keputusan, beliau
tidak akan bergantung pada sesiapapun malah akan membuat keputusannya
sendiri. ( Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)
Sebelum
berkahwin dengan Nabi Muhammad S. A. W. Saidatina Khadijah diperisteri
oleh Abu Halah bin Zurarah bin Usaid bin Amr bin Tamim At-Tamimi. Mereka
telah memperoleh dua cahaya mata yang bernama Halah dan Hanad. Setelah
Abu Halah meninggal dunia, Saidatina Khadijah diperisteri oleh Atiq bin
Aidz bin Abdillah bin Umar bin Makhzum Al-Makhzumi. Namun begitu
perkahwinannya hanya berlangsung beberapa saat kemudian bercerai.
Selepas itu ramailah orang-orang terkenal di kalangan Quraisy ingin
memperisterikan Saidatina Khadijah, tetapi beliau menolaknya kerana
beliau ingin meluangkan masa beliau dengan mendidik putera-puteranya dan
menguruskan dagangannya. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 5)
Setelah
dagangannya meluas ke negeri Syam, Saidatina Khadijah mengambil Nabi
Muhammad S. A. W. sebagai pekerjanya bagi mengedarkan dan menguruskan
dagangannya dari Makkah ke Syam. Di samping itu juga, beliau mengutus
pembantunya yang bernama Maisarah untuk memperhatikan gerak-geri Nabi
Muhammad. Setelah sekian lama mengenali diri dan sifat-sifat Nabi
Muhammad S. A. W. , Saidatina Khadijah mula jatuh cinta pada Nabi
Muhammad S. A. W. Dan dari situlah terjalinnya perkahwinan Saidatina
Khadijah dengan Nabi Muhammad S. A. W. dimana umur Saidatina Khadijah
ketika itu ialah 40 tahun manakala umur Nabi Muhammad S. A. W. ialah 25
tahun. (Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 6-10)
Keistimewaan
Saidatina Khadijah ialah beliau seorang yang cerdas, pandai menjaga
diri, suci perilakunya, bermurah hati serta dermawan. Nabi Muhammad S.
A. W. telah memberi gelaran penghulu wanita pada zamannya dan juga
menjadi penghulu syurga. Saidatina Khadijah juga wanita yang sempurna,
seorang teguh hati, agung, suci hatinya, bersih jiwanya, cantik rupa
parasnya, halus perasaannya, sentiasa adil dan mulia akhlaknya.
(Muhammad Ali Quthub, 1986: mukasurat 5-6)
Keimanan, kebaikan,
kemurahan hati Saidatina Khadijah diketahui oleh setiap orang. Beliau
penuh dengan kesabaran dalam penderitaannya dan bersemangat untuk
berjuang. Saidatina Khadijah selalu mengagungkan rahmat dan kurnia dari
Allah S. W. T. Beliau selalu mendapat rahmat yang berlimpah. Ketika
pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim, Saidatina Khadijah tetap tegar
dalam keimanannya dan hal itu selalu menjadi sumber kekuatan yang tidak
pernah goyah baginya dan bagi orang-orang di sekelilingnya. (Syed A. A.
Razwy, 1993: mukasurat 64-67)
Dari hasil perkahwinan yang
sungguh harmoni ini, mereka berdua telah dikurniakan enam cahaya mata
iaitu empat puteri dan dua putera. Anak pertama mereka ialah Al-Qasim.
Al-Qasim wafat ketika berusia satu tahun. Selepas kelahiran Al-Qasim,
diikuti dengan kelahiran Zainab, Ruqayyah, Ummu Kaltsum, Siti Fatimah
Az-Zahra dan Abdullah. Abdullah wafat ketika masih bayi lagi. Semua
puteri Saidatina Khadijah dan Nabi Muhammad S. A. W. wafat ketika Nabi
Muhammad S. A. W. masih hidup kecuali Siti Fatimah Az-Zahra wafat enam
bulan selepas wafatnya bapanya, Nabi Muhammad S. A. W. (Muhammad
Al-Ghazaliy, 1996: mukasurat 135)
Saidatina Khadijah tidak
pernah meminta apa-apa pun dari suaminya. Jangankan minta berikan
sesuatu, bahkan beliau banyak menggunakan wangnya untuk keperluan
orang-orang Muslim. Selain itu, beliau seorang wanita sempurna.
Saidatina Khadijah tidak pernah berasa cemburu. Beliau selalu bersyukur,
gembira dan mempunyai perasaan puas dalam memberikan sesuatu. Beliau
juga tidak pernah menyakiti orang, tidak pernah marah, berdendam,
mengumpat atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang lain.
Saidatina Khadijah dilahirkan dengan hati yang bersih. (Syed A. A.
Razwy, 1993: mukasurat 76-80)
Selepas bapa saudara Nabi Muhammad
S. A. W iaitu Abu Talib wafat, Saidatina Khadijah yang ketika itu
berusia 65 tahun telah jatuh sakit. Tak lama kemudian Saidatina Khadijah
pun wafat. Ini semua adalah kesan dari beratnya penderitaan yang
ditanggung Saidatina Khadijah selama dipulau oleh kaum Musyrikin Quraisy
selama tiga tahun di Syiib Abu Talib. Saidatina Khadijah telah wafat
pada sepuluh Ramadhan pada tahun 619 Masihi. Pada saat kewafatannya,
jubah Nabi Muhammad S. A. W. dijadikan sebagai kain kapan untuk
Saidatina Khadijah dan beliau dikebumikan di Hujun, Makkah.
(Maulana Syed Abul Hasan Ali an Nadwi, 2009: mukasurat 311)
SUMBANGAN SAIDATINA KHADIJAH KEPADA ISLAM
Saidatina
Khadijah sedikit sebanyak telah memberi sumbangan kepada Islam. Beliau
telah banyak menolong masyarakat pada zaman awal Islam tidak kira
keturunan atau pangkat. Antaranya beliau telah membantu orang-orang
miskin, janda, anak-anak yatim dan orang-orang cacat menggunakan
keuntungan yang diperolehnya daripada hasil dagangannya. Apabila ada
gadis miskin, Saidatina Khadijah mengahwinkannya dan memberikan mas
kahwin kepada mereka.
(Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 16)
Ketika pemulauan terhadap keluarga Bani Hasyim, kekayaan Saidatina
Khadijah yang melimpah itu habis. Hal ini kerana sebahagian hartanya
dihabiskan untuk membeli air bagi menyelamatkan Nabi Muhammad S. A. W.
dan keluarganya. Saidatina Khadijah mengorbankan kesenangan, kekayaan,
rumahnya dan hidupnya untuk Islam. Semasa peperangan, Saidatina Khadijah
menggunakan semua harta kekayaanya untuk keperluan seperti misalnya
membeli makanan dan minuman untuk keluarga suaminya. Beliau sangat
bahagia apabila hartanya disumbangkan ke arah kebaikan. (Syed A. A.
Razwy, 1993: mukasurat 66-69)
Saidatina Khadijah selalu bersama
suaminya yang tercinta di dalam masa susah mahupun senang. Saidatina
Khadijah selalu menghiburkan Nabi Muhammad S. A. W. ketika baginda
kebingungan apabila wahyu yang pertama diturunkan kepada baginda.
Saidatina Khadijahlah yang telah bersusah payah membawa Nabi Muhammad S.
A. W. berjumpa sepupunya yang alim dalam kitab Taurat dan Injil iaitu
Waraqah bin Naufal untuk mengesahkan apakah benda yang telah datang
kepada suaminya di dalam Gua Hira’ itu. (Maulana Syed Abul Hassan Ali ad
Nadwi, 2009: 311-314)
Setiap hari, Saidatina Khadijah
memberikan makanan kepada orang-orang Muslim yang miskin sehingga tiada
seorang pun yang menderita kelaparan. Di samping itu, beliau memberikan
tempat tinggal kepada mereka. Beliau menggunakan banyak wangnya untuk
orang-orang Muslim Makkah yang miskin dan dengan begitu beliau telah
mematahkan tujuan orang-orang kafir yang mendera orang-orang Muslim itu.
(Syed A. A. Razwy, 1993: mukasurat 75)
Di samping itu,
Saidatina Khadijah juga seorang pendakwah yang cukup berani, petah
bercakap dan indah kata-katanya. Sifat-sifat inilah yang menjadikan
beliau seorang yang berani dalam berdakwah dan mendapat sambutan yang
cukup baik. Saidatina Khadijah selalu mendampingi suaminya yang tercinta
dalam berdakwah dan beliau akan menolong suaminya dalam keadaan sulit
dan penuh ujian. Beliau akan selalu menolong dan membantu Nabi Muhammad
S. A. W. dengan seberapa banyak kemampuan yang ada. (Muhammad Ali
Quthub, 1986: mukasurat 18-19)
No comments:
Post a Comment